Pendidikan

Pendidikan

 

SK Abang Abdul Rahman Saratok

Sekolah Kebangsaan Abang Abdul Rahman atau nama ringkasnya SK Abang Abdul Rahman, merupakan sebuah Sekolah kebangsaan yang terletak di D/A Pejabat Pelajaran Daerah Kecil, Saratok. Kini pada tahun 2013, terdapat seramai 834 murid yang belajar sekolah tersebut.

 

(Sumber: Sk Abang Abdul Rahman Saratok)

 

SMK Bahasa Malaysia Saratok

Sekolah Menengah Kebangsaan Bahasa Malaysia, Saratok memulakan sejarah perkembangannya sebagai sekolah yang beraliran Bahasa Melayu penuh pada awal Januari, 1975 dengan dua buah kelas Peralihan untuk menampung keperluan penuntut sulungnya yang berjumlah 63 orang.

Sejak penubuhannya hingga hujung tahun 1978, sekolah ini tidak mempunyai bangunan sendiri tetapi menumpang di Sekolah Rendah Abang Abdul Rahman, Saratok. Sekolah ini telah diasaskan oleh dua orang guru, iaitu Encik Shokeran Mohidden (Guru Besar SMK (BM) Saratok dari 1975 hingga 1977) dan Encik Yusof Arab.

Seramai 59 orang penuntut kumpulan pertama sekolah ini telah menduduki Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran 1978. Mereka telah mencapai keputusan yang memuaskan dengan 36 orang calon mendapat A, 8 orang calon mendapat B dan 2 orang mendapat C. Peratus kelulusan ialah 77.96%. Dengan keputusan sedemikian rupa, SMK (BM) Saratok dihadiahkan Sijil Keputusan SRP Terbaik Bagi Sekolah-Sekolah Menengah Sarawak Gred C 1978 pada Perayaan Hari Guru 1979.

 

Pada 5 Jun 1979, hari Selasa bersamaan 10 Rejab 1399 merupakan tarikh bersejarah sekolah ini kerana bangunan barunya telah dibuka dengan rasminya oleh Menteri Pelajaran ketika itu, Yang Berhormat Dato’ Musa Bin Hitam.

 

Dahulunya sekolah menengah ini hanya menjalankan pembelajaran pada sesi pagi, namun sekarang SMK BM Saratok menjalankan pembelajaran dua sesi iaitu petang dan pagi. Hal ini ekoran pertumbuhan penduduk di Saratok yang kian meningkat saban tahun. Pada tahun 2013 terdapat seramai 1367 orang pelajar belajar di sekolah tersebut.

 

                                                                                                (Sumber: SMK BM Saratok)

 

 

Pusat Latihan Giatmara Saratok

Pusat GiatMara Saratok telah ditubuhkan pada Januari 1994 oleh En. Ahmad Hamdi sebagai Pengurus pertamanya dengan menggunakan Bangunan JKR lama sebagai tempat operasi. Pengambilan pelatih pertama adalah pada Jun 1994 dalam Kursus Teknologi Bangunan. Pada Januari 1995, Kursus Teknologi Automotif diperkenalkan. Kemudian, menyusul Kursus Jahitan Pakaian pada Jun 1996. Pada sesi 1/2013 terdapat 51 orang pelatih yang menuntut di situ.

 

 (Sumber: Pusat Giatmara Saratok)